Kehidupan ini sangat singkat bukan? Dan tiada sesiapa yang akan kekal di muka bumi ini. Ya, itu kenyataan. Tapi kenapa pada hakikatnya bila kita mengatakan sedemikian, tiada rasa kesedaran mahupun keinsafan yang terbit dari hati nurani kita. Kerana kita yakin, hari esok masih ada untuk diri kita. Kita seolah-olah tahu kita akan hidup lagi untuk hari esok. Hakikatnya kita langsung tidak menyedari yang sebenarnya kematian sentiasa hampir dengan kita. Kenapa aku berkata demikian? Sebab kita selalu tidak pernah bersedia untuk hari mati kita. Selalunya apabila ada orang meninggal dunia, orang sekeliling yang mempunyai hubungan kekeluargaan dan rapat dengan si mati akan bersedih. Siapa yang tidak sedih bukan? Tanya lah pada sesiapa pun, aku yakin pasti air mata akan mengalir tatkala melihat sekujur tubuh yang kaku, yang sudah terpisah dari roh dan jasad, sejuk kebiruan. Waktu itu pasti kita yang hidup akan tertanya, dengarkah si mati pada tangisan ini? Apa yang si mati ini sedang rasai ketika ini? Hanya si mati sahaja yang merasakan dan tiada sesiapa yang akan merasainya melainkan apabila sudah sampai sampai ajal kita.
Apabila roh keluar dari jasad, ia akan berkata-kata dan seluruh isi alam sama ada di langit mahupun bumi akan mendengarnya kecuali jin dan manusia. Apabila mayat dimandikan, roh akan berkata: "Wahai orang yang memandikan, aku meminta kepadamu kerana Allah untuk melepaskan pakaianku dengan perlahan-lahan kerana pada waktu ini aku sedang beristirehat daripada seksaan malaikat maut." Selepas itu, mayat akan bersuara sambil merayu: "Wahai orang yang memandikan, janganlah engkau menuangkan airmu dalam keadaan panas, begitu juga janganlah engkau menuangkan airmu dalam keadaan dingin kerana tubuhku terbakar apabila terlepas roh dari tubuhku. Demi Allah, wahai orang yang memandikan jangan engkau menggosok aku dengan kuat kerana tubuhku luka-luka dengan keluarnya roh dari tubuhku."
Setelah dimandikan dan dikafankan, telapak kaki mayat diikat dan ia pun memanggil-manggil dan berpesan supaya jangan diikat terlalu kuat serta mengafani kepalanya kerana ingin melihat wajahnya sendiri, anak-anak, isteri atau suami buat kali terakhir kerana tidak akan dapat melihat lagi sehingga Hari Kiamat. Mayat tidak mampu berkata-kata kerana roh nya sudah keluar dari jasad. Tapi bagi kita yang masih hidup, kita tidak akan tahu apa yang sedang di alami oleh si mati.
Dan sebaik keluar dari rumah lalu ia berpesan: "Wahai jemaahku, sesungguhnya pada hari ini aku telah keluar dari rumahku dan aku tidak akan dapat kembali kepada mereka untuk selama-lamanya." Sesudah mayat diletakkan dalam pengusung, sekali lagi diserunya agar tidak mempercepatkan mayatnya ke kubur selagi belum mendengar suara anak-anak dan sanak saudara buat kali terakhir.
Sesudah dibawa sebanyak tiga langkah dari rumah, roh berpesan: "Wahai kekasihku, wahai suadaraku dan wahai anak-anakku, jangan kamu diperdaya oleh dunia sebagaimana ia memperdayakan aku dan jangan lah kamu lalai dan leka ketika ini sebagaimana ia melalaikan dan melekakan aku."
Rasulullah saw pernah berkata: Apabila telah sampai ajal seseorang itu, maka akan masuklah sekumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai ke lutut. Dan setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudian mereka keluar. Dan masuk lagi sekumpulan malaikat yang lain dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudian mereka keluar. Dan akhir sekali datang sekumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak bagi orang itu. Dan sekiranya orang yang nazak itu adalah orang yang beriman, maka malaikat Jibrail a.s akan menyebarkan sayapnya yang disebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa pada orang sekelilingnya. Ini adalah kerana dia sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pada pandangannya kepada sayap Jibrail a.s.
Dan bagi orang yang munafik, maka Jibrail a.s akan menyebarkan sayapnya di sebelah kiri, maka orang yang nazak itu akan melihat kedudukannya di neraka dan dalam pada masa itu orang itu tidak lagi melihat orang disekelilingnya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya.
Dan ketika aku menulis entry ini, aku tahu yang aku masih belum bersedia untuk mati. Masih banyak lagi pahala yang belum aku lakukan untuk aku jadikan bekalan selepas hari kematianku.
Akhir kata... "Janganlah engkau merasa seolah-olah umurmu masih panjang kerana lamunan seperti itu banyak membawa kepada ajal..."
1 comment:
insaf aku..
Post a Comment