Followers

July 7, 2011

Jangan Bodoh Kerana Cinta Part II

Seribu satu alasan Joe berikan menghina saya dan keluarga. Paling mendukacitakan, dia merasakan perbuatannya meratah dan meniduri saya adalah perbuatan normal bagi pasangan bercinta, dan dia tidak mahu berkahwin atas dasar tanggungjawab saja kerana dalam jiwanya langsung tidak wujud perasaan cinta terhadap saya. 

Kerana terlalu marah, mungkin sakit hati dan amat sedih, saya terpaksa menerima keputusan Joe yang mahu pertunangan kami diputuskan. Sebulan selepas putus tunang, dengan izin Allah dan takdir-Nya juga seorang kenalan lama menyatakan hasratnya mengambil saya jadi isterinya. Saya yang masih dihantui sejarah hitam berterus-terang kepadanya keadaan diri saya yang tidak suci lagi. Saya sendiri tak tahu bagaimana saya berani memberitahu sejarah hitam saya yang tersimpan rapi selama ini. Alhamdulillah, dia terima saya seadanya katanya saya baik cuma saya tersilap langkah. Dia terpikat dengan personaliti dan perilaku saya. Dia terus berjumpa keluarga melamar saya. Ibu dan ayah terkejut besar dan menerimanya sebagai ketentuan-Nya.

Saya terima lamarannya bukan mahu jadikan beliau kambing hitam. Tetapi saya mahu buktikan saya mampu bangkit semula dan musibah ini tidak memusnahkan hidup saya dan tidak mahu meratapi nasib sepanjang hayat. Kami berkahwin beberapa bulan kemudian. Dan saya gunakan semua barangan yang telah saya siapkan sebelum ini. Saya belajar mencintainya selepas berkahwin. Alhamdulillah, Allah telah membuka hati dan perasaan saya untuk menerima cintanya.

Kini, saya anggap sayalah manusia paling bertuah dan bahagia di dunia ini kerana diberi peluang kedua untuk merasa nikmat kasih sayang yang sebenar. Suami membimbing saya menjadi isteri sempurna dan tidak putus-putus mengatakan bertapa bertuahnya dia mendapat isteri seperti saya. Beliau tidak pernah sekali pun mengungkit kisah silam saya.

Selepas berkahwin, Joe menghantar SMS menyatakan kekesalannya dan hasratnya untuk kembali kepada saya. Tetapi dia terkejut saya mendapat pengganti begitu cepat dan dia kesal dengan apa yang terjadi. Pada saya semua itu hanya omong kosong.

Saya amat bersyukur ke hadrat Ilahi dan berusaha jadi isteri terbaik untuk suami tercinta sambil menunggu kelahiran anak yang kedua dilahirkan.....

July 5, 2011

Jangan Bodoh Kerana Cinta I

"Saya masih tertanya-tanya mengapa wanita apabila dilanda gelora cinta mereka jadi bodoh, tak boleh berfikir, tak makan nasihat, jadi buta, pekak, bisu dan cuma percaya kekasihnya sahaja. Itulah yang terjadi pada saya dahulu sehingga hampir memusnahkan hidup saya." Demikian cerita Fara Najwa dalam emelnya.

Walaupun peristiwa itu berlaku 10 tahun lalu, tetapi bila melihat gelagat wanita kini yang membuat saya teringat peristiwa pahit yang pernah saya lalui. Walaupun saya lulusan universiti tetapi ketika bercinta saya jadi bodoh.

Saya kenal Joe ketika sama-sama belajar, dia menyayangi saya sepenuh hati, sanggup buat apa sahaja untuk saya. Dia tak benarkan saya keluar sendirian apa lagi naik bas. Saya ditatang macam puteri. Dan saya menikmati saat-saat bercinta yang paling menyeronokkan.

Ketika bercinta, kami berkongsi segala-galanya, masalah, duit makanan dan nota pelajaran. Tetapi satu masalahnya dia panas baran dan tak mahu mengalah. Ada masanya dia mengongkong saya hingga membuat perhubungan kami jadi panas. Di pendekkan cerita, hubungan kami bertahan enam tahun. Walaupun sering bergaduh kerana saya tahu dia playboy dan baran. Ramai kawan tahu dia ada ramai teman wanita, tetapi nasihat mereka saya anggap tohmahan dan fitnah.

Akhirnya hubungan kami sampai ke tahap 'terlarang'. Namun, Joe berjanji akan bertanggungjawab dan berkahwin setelah tamat pengajian. Saya menangis dan kesal kerana terlanjur, kerana saya dididik soal agama namun kerana terlalu sayangkan Joe saya ikut sahaja kemahuannya. Memang saya bodoh.

Joe kenal keluarga saya, ibu ayah saya melayan Joe seperti anak sendiri. Lebih-lebih lagi Joe pandai ambil hati orang tua dan menghormati mereka. Dan keluarga saya menunggu saat dan ketika untuk kami segera kahwin. 

Setelah enam tahun bercinta, kami pun bertunang. Tetapi, perubahan sikap Joe jelas apabila kami berkhidmat di negeri berjauhan. Dia jadi semakin sukar dihubungi. Saya dapat tahu dia bercinta dengan teman sepejabat. Beberapa kali kawan kami terserempak mereka pergi menonton dan makan malam, mereka cuba nasihatkannya. Tapi Joe tak peduli. Setiap kali dengar berita, saya hubungi Joe sudah pasti dia menafikan, akhirnya dia tuduh saya suka dengar fitnah. Joe lebih berang bila saya hubungi teman wanitanya untuk kepastian. Saya terpaksa, kerana tarikh perkahwinan tinggal tiga bulan lagi. 

Untuk menyejukkan kemarahan saya, Joe minta saya buktikan kasih sayang saya padanya, dan sudah pasti ketika itu saya terpaksa membenarkan tubuh saya diratah. Saya tak berani membantah permintaan Joe kerana banyak sebab. Pertama, saya terlalu sayangkannya. Kedua, tarikh perkahwinan kami semakin hampir, ketiga, saya takut ditinggalkan, keempat malu jika kahwin tak jadi, kelima saya takut siapa mahukan saya jika tak jadi kahwin, kerana saya bukan gadis lagi. Saya ikut kehendaknya sebab lima perkara tadi.

Malangnya, Joe masih teruskan sikapnya, Saya jatuh sakit. Bila diberitahu, Joe kesal dengan perbuatannya. Dia berjanji akan setia. Tapi janji tinggal janji. Sekali lagi kami bergaduh. Kata Joe, "Apa awak nak jadi jika saya tinggalkan awak?"

Tamparan kata-katanya membuka mata saya mengenali siap Joe sebenarnya. Kata Joe, pertunangan hanyalah adat. Dia masih berhak mencari calon isteri lebih sesuai. Lagipun, dia tak selesa dengan sifat saya yang teratur, kemas dan bersopan kerana dia mahukan wanita yang sempoi. Rumah kami yang kecil pun dia tidak betah tinggal..


akan bersambung...........

Saya Nak Upah (wat muka chomel..)