Followers

July 5, 2011

Jangan Bodoh Kerana Cinta I

"Saya masih tertanya-tanya mengapa wanita apabila dilanda gelora cinta mereka jadi bodoh, tak boleh berfikir, tak makan nasihat, jadi buta, pekak, bisu dan cuma percaya kekasihnya sahaja. Itulah yang terjadi pada saya dahulu sehingga hampir memusnahkan hidup saya." Demikian cerita Fara Najwa dalam emelnya.

Walaupun peristiwa itu berlaku 10 tahun lalu, tetapi bila melihat gelagat wanita kini yang membuat saya teringat peristiwa pahit yang pernah saya lalui. Walaupun saya lulusan universiti tetapi ketika bercinta saya jadi bodoh.

Saya kenal Joe ketika sama-sama belajar, dia menyayangi saya sepenuh hati, sanggup buat apa sahaja untuk saya. Dia tak benarkan saya keluar sendirian apa lagi naik bas. Saya ditatang macam puteri. Dan saya menikmati saat-saat bercinta yang paling menyeronokkan.

Ketika bercinta, kami berkongsi segala-galanya, masalah, duit makanan dan nota pelajaran. Tetapi satu masalahnya dia panas baran dan tak mahu mengalah. Ada masanya dia mengongkong saya hingga membuat perhubungan kami jadi panas. Di pendekkan cerita, hubungan kami bertahan enam tahun. Walaupun sering bergaduh kerana saya tahu dia playboy dan baran. Ramai kawan tahu dia ada ramai teman wanita, tetapi nasihat mereka saya anggap tohmahan dan fitnah.

Akhirnya hubungan kami sampai ke tahap 'terlarang'. Namun, Joe berjanji akan bertanggungjawab dan berkahwin setelah tamat pengajian. Saya menangis dan kesal kerana terlanjur, kerana saya dididik soal agama namun kerana terlalu sayangkan Joe saya ikut sahaja kemahuannya. Memang saya bodoh.

Joe kenal keluarga saya, ibu ayah saya melayan Joe seperti anak sendiri. Lebih-lebih lagi Joe pandai ambil hati orang tua dan menghormati mereka. Dan keluarga saya menunggu saat dan ketika untuk kami segera kahwin. 

Setelah enam tahun bercinta, kami pun bertunang. Tetapi, perubahan sikap Joe jelas apabila kami berkhidmat di negeri berjauhan. Dia jadi semakin sukar dihubungi. Saya dapat tahu dia bercinta dengan teman sepejabat. Beberapa kali kawan kami terserempak mereka pergi menonton dan makan malam, mereka cuba nasihatkannya. Tapi Joe tak peduli. Setiap kali dengar berita, saya hubungi Joe sudah pasti dia menafikan, akhirnya dia tuduh saya suka dengar fitnah. Joe lebih berang bila saya hubungi teman wanitanya untuk kepastian. Saya terpaksa, kerana tarikh perkahwinan tinggal tiga bulan lagi. 

Untuk menyejukkan kemarahan saya, Joe minta saya buktikan kasih sayang saya padanya, dan sudah pasti ketika itu saya terpaksa membenarkan tubuh saya diratah. Saya tak berani membantah permintaan Joe kerana banyak sebab. Pertama, saya terlalu sayangkannya. Kedua, tarikh perkahwinan kami semakin hampir, ketiga, saya takut ditinggalkan, keempat malu jika kahwin tak jadi, kelima saya takut siapa mahukan saya jika tak jadi kahwin, kerana saya bukan gadis lagi. Saya ikut kehendaknya sebab lima perkara tadi.

Malangnya, Joe masih teruskan sikapnya, Saya jatuh sakit. Bila diberitahu, Joe kesal dengan perbuatannya. Dia berjanji akan setia. Tapi janji tinggal janji. Sekali lagi kami bergaduh. Kata Joe, "Apa awak nak jadi jika saya tinggalkan awak?"

Tamparan kata-katanya membuka mata saya mengenali siap Joe sebenarnya. Kata Joe, pertunangan hanyalah adat. Dia masih berhak mencari calon isteri lebih sesuai. Lagipun, dia tak selesa dengan sifat saya yang teratur, kemas dan bersopan kerana dia mahukan wanita yang sempoi. Rumah kami yang kecil pun dia tidak betah tinggal..


akan bersambung...........

No comments:

Saya Nak Upah (wat muka chomel..)